Teluk Intan

SEMARAK GEMILANG Profil Sekolah Yang Terkini Buku Tamu Galeri Hubungi Sekolah Teluk Intan

Teluk Intan

GAMBAR DAN TEMPAT MENARIK

MENARA CONDONG

Terletak di tengah-tengah Bandar Teluk Intan. Menara jam ini dibina oleh seorang kontraktor bernama Leong Choon Chong pada Tahun 1885. Tujuan asalnya adalah untuk menyimpan air bagi penggunaan penduduk Teluk Intan sebelum bekalan air dari Changkat Jong disalurkan pada Tahun 1919. Menara waktu ini berdiri di tepi terusan yang telah disiap lebih awal sedikit. Bentuknya seperti sebuah pagoda. Dari luar ternampak seolah-olah menara ini adalah bangunan lapan tingkat, sebenarnya hanya terdapat tiga tingkat sahaja. Di tingkat atas sekali terletak tangki air yang boleh memuatkan 19.26 meter padu air. Menjelang Perang Dunia Kedua, pihak pentadbiran bertujuan merobohkan menara ini kerana bimbang ia akan menjadi petanda kepada serangan kapal terbang Jepun. Tetapi ia mendapat tentangan dari penduduk tempatan, cadangan itu terpaksa dibatalkan dan kekal hingga ke hari ini dibawah pemeliharaan pihak Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI). Keunikan rekabentuk dan pembinaannya menjadi daya tarikan kepada para pelancong untuk melihat sendiri secara lebih dekat.

JETI BAGAN DATOH

Terletak lebih kurang 50km dari Bandar Teluk Intan. Tempat ini adalah tempat yang paling ramai menerima kunjungan pelancong-pelancong dari dalam dan luar negara. Ini kerana ia menjadi pusat tumpuan terutama kepada pemancing-pemancing untuk menyewa bot-bot bagi memenuhi aktiviti riadah mereka. Salah satu tempat yang menjanjikan hasil tangkapan yang lumayan serta berdekatan dengan jeti ini ialah Pulau Sembilan. Ia sebuah pulau yang menjadi tarikan kepada kaki-kaki pancing. Pulau ini juga mempunyai cerita-cerita misteri yang tersendiri. Sesiapa yang berminat datanglah dan jangan ketinggalan singgah ke sini.

BECA OH BECA

Apabila jalan raya beransur-ansur menggantikan sungai sebagai bentuk pengangkutan yang lebih penting, terutamanya setelah terusan dikambus, kereta lembu atau kereta kuda semakin popular digunakan. Kedua-dua jenis kenderaan ini tetap ada selepas Perang Dunia II. Kereta Kuda hanya mulai lenyap pada lewat 1940-an dan digantikan dengan kenderaan berbasikal seperti 'Beca' atau kenderaan bermotor. Walaupun penggunaan kenderaan bermotor lebih popular dan menjadi pengangkutan utama, 'Beca' masih kekal digunakan hingga ke hari ini tetapi bilangannya semakin berkurangan. Keunikan kenderaan ini menjadi daya tarikan kepada pelancong-pelancong. Penggunaannya amat sesuai untuk tujuan membawa penumpang-penumpang yang ingin bersiar-siar di sekitar Bandar Teluk Intan.

MEDAN SELERA MENARA CONDONG

Gambar ini adalah Medan Selera Menara Condong atau dahulu dikenali sebagai 'Medan Selera Bumbung Biru' yang terletak di tengah-tengah Bandar Teluk Intan. Tempat ini adalah tempat bagi sesiapa yang ingin menjamu selera. Ia menyediakan berbagai-bagai jenis lauk-pauk dan ulaman-ulaman kampung yang sentiasa menarik perhatian ramai ke sini.

MASJID DAERAH TELUK INTAN

Dengan masyarakat majmuk maka banyaklah agama yang diamalkan oleh penduduk Teluk Intan. Bagi orang Islam memang telah lama ada surau-surau bagi mereka beribadat. Masjid India (di Jalan Ah Cheong) dan Masjid Aziziah (di Jalan Mahkota) dibina pada tahun 1920-an. Pada 1983, Masjid Sultan Idris II(seperti digambar) telah dibina bagi menampung pertambahan dan kepadatan penduduk Islam bagi mengantikan Masjid Aziziah yang telah lama dan kecil. Masjid ini terletak di lokasi yang strategik iaitu di persimpangan jalan masuk ke bandar Teluk Intan (bersebelahan bangunan Pejabat Daerah & Tanah Hilir Perak). Disamping itu keadaan lanskap sekelilingnya amat menarik. Ini menjadikan ia salah satu tempat yang ramai menerima kunjungan.

PENGKALAN BINAAN BOT TELUK INTAN

Gambar ini adalah tempat membina bot-bot dan kapal-kapal kecil di daerah ini. Ia juga merupakan tempat yang menjadi daya tarikan pelancong-pelancong.